Khamis, 26 Mac 2009

Mansuh PPSMI, Islamisasikan Pendidikan Sains dan Matematik

Oleh : Wan Ahmad Fathi b. Wan Hassan
*Artikel ini boleh didapati dalam Majalah Milenia Muslim Edisi April 2009 dalam mileniamuslim.com



Sejak beberapa dekat yang lalu, para pemikir dan pendukung Islam menyeru kepada transformasi education system yang sudah lama berasaskan sistem mengikut secular world view yang begitu dominan serta berasaskan sekularisasi infiradi (individu), tsaqafah; dan terus kepada masyarakat dan negara.

Para pemurni yang menyeru transformasi kepada Islamic world view ini sudah lama menyatakan dan berjuang untuk mengubah sistem tersebut pada sistem Islamik, antaranya, Syeikh Muhammad Abduh, Muhammad Iqbal dan tokoh-tokoh yang lain.

Pemansuhan PPSMI perlu dilakukan dan diganti dengan pemerkasaan ilmu pengetahuan empirikal moden iaitu Matematik dan Sains kepada suatu pemurnian secara sempurna serta perlu melalui proses pembersihan dan rawatan berterusan agar masyarakat baru menyedari akan bahaya tamadun moden Barat yang menolak kekuasaan Allah dalam kehidupan insan.

Apabila berkata mengenai ilmu pengetahuan moden, Sir Muhammad Iqbal pernah menyatakan ‘Ilmu ini yang membangunkan kekuatan luaran mesti tunduk kepada ‘Deen’ (Islam).

Seandainya ia tidak tunduk kepada ‘Deen’ maka ia adalah suatu dosa, mentah, ringkas. Adalah satu kewajipan umat Islam untuk mengislamkan ilmu pengetahuan’.

Muhammad Iqbal amat menekankan keperluan dan signifikannya pembebasan ilmu dan pendidikan masa kini dari cengkaman sekularisme dan ateisme.

Seandainya hari ini kau tumpukan perhatian kepada Islam dan mendapatkan inspirasi dari idea yang tetap segar terkandung di dalamnya, kau akan mampu mengumpul kembali kekuatan yang jitu, mengembalikan martabat yang hilang dan dengan itu menyelamatkan diri mu dari kemusnahan yang menyeluruh,” nasihatnya.

Seandainya pihak yang berkenaan bijak melihat keutamaan antara pemerkasaan Islamisasi pendidikan dengan mewujud kan PPSMI dalam negara yang pernah dijajah oleh Barat ini, barangkali persoalan untuk mewujudkan PPSMI tidak timbul dan Malaysia akan selamat dari menggadaikan bahasa ibunda dan diganti oleh Bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Menelusuri sejarah negara, kita telah dijajah dalam tempoh masa yang agak panjang, ditambah dengan serangan pemikiran atau neo-kolonialisme yang melanda masyarakat pada masa kini, maka amat perlu diislamisasi subjek Matematik dan Sains.

Ilmuwan Islam seperti Harun Yahya telah mengkaji perkaitan Sains dengan Islam dan banyak buku-buku yang telah dikeluarkan oleh beliau, hasil kajian ilmuwan ini boleh dimanfaatkan untuk mewujudkan suatu sukatan pengajaran sains yang baru dari perspektif Islam.

Sebagai contoh, dalam subjek sains, penentuan jantina bayi yang dikaitkan dengan Kromosom Seks, XX, XY dan sebagainya, dalam Islam ia sudah dijelaskan dalam al-Quran melalui Surah an-Najm: 45-46 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Dialah menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan dari air mani yang dipancutkan”.

Kesimpulannya, PPSMI sememangnya perlu dimansuhkan dan semua pihak sepatutnya risau dan memikirkan tentang perkara ini, peranan kerajaan, pentadbir dan cerdik pandai seperti mahasiswa perlu kepada kesedaran ke arah memainkan peranan dalam Islam.

Islam yang prihatin memerlukan para pemikir, politikus, pendidik, doktor, jurutera pemuda-pemudi dan intelektual yang komited dengan Islam agar negara ini menyediakan suatu pembaharuan dalam sistem kehidupan khususnya pendidikan yang berperanan besar dalam mewujudkan ‘world view Islam’ dalam masyarakat agar ia dapat seiring dengan falsafah dan konsep pendidikan Islam dan negara.


Tiada ulasan: