Rabu, 11 Jun 2008

Who Is? Muhammad Iqbal

Muhammad Iqbal merupakan ilmuan Islam(ulama) yang tidak ternilai kehebatan ilmunya. Beliau dilahirkan pada November 1877. Syeikh Muhammad Iqbal berasal dari Pakistan dan merupakan seorang ahli falsafah, penyair dan ahli politik Islam yang berilmu.

Beliau dibesarkan dalam keluarga golongan menengah Punjab di Sialkot, (kini di Pakistan). Beliau dikatakan berketurunan Kashmir, ini kerana datuknya iaitu Shaikh Rafiq telah mengikut gerakan penghijrahan besar-besaran dari Kashmir lalu menetap dan membina kehidupannya di Sialkot.

Sejak kecil lagi Muhammad Iqbal dan adik-beradiknya sudah terdidik dalam suasana keluarga yang mengutamakan aspek spiritual. Tambahan pula bapanya iaitu Shaikh Nur Muhammad dan ibunya, Imam Bibi sangat kuat berpegang kepada disiplin beragama. Setiap kali selesai sahaja solat subuh, Muhammad Iqbal akan membaca al-Quran.

Pernah pada suatu hari, ayahnya berkata, “Wahai Iqbal, bacalah al-Quran seolah-olah ia diturunkan untukmu!” Kemudian Iqbal menjawab, “Wahai ayah sesungguhnya aku merasakan seolah-olah al-Quran berbicara kepadaku.” Hasilnya, elemen spiritual inilah yang banyak mempengaruhi karya-karya beliau dalam penulisan kreatif terutamanya dalam bidang sastera Islam. Oleh sebab itu tidak hairanlah, sebagai seorang pemikir beliau memasukkan dimensi spiritual dalam khazanah pemikiran Islam.

Proses perkembangan pendidikan Muhammad Iqbal sedikitpun tidak terjejas walaupun ketika itu India di bawah kekuasaan British. Polisi pemerintahan British juga tidak mengubah dasar bahasa di sekolah-sekolah malah menjadikan bahasa Parsi sebagai bahasa utama pengajaran. Di daerah kelahirannya ini, Muhammad Iqbal mula mendapat pendidikan awal. Bermula di sinilah minat Iqbal terhadap dunia sastera mula dipupuk. Hal ini dikesan oleh gurunya iaitu Sayyid Mir Hassan apabila beliau melihat minat dan kecenderungannya kepada sajak-sajak klasik.

Muhammad Iqbal percaya dengan menguasai banyak bahasa dunia selain dari bahasa Urdu dan Parsi seperti bahasa Inggeris dan bahasa Arab mampu mengembangkan minat serta ilmunya dengan lebih luas lagi. Pada tahun 1895 beliau melanjutkan pelajarannya di sebuah kolej kerajaan di Lahore pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang falsafah, bahasa Arab dan kesusasteraan Inggeris. Pada tahap ini Iqbal mula mengatur langkah untuk menulis puisinya secara serius dan meraih nama sebagai penyair bahasa Urdu sebelum berangkat ke England.

Pada tahun 1905 beliau melanjutkan pengajiannya ke Eropah dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang undang-undang dari Universiti Cambridge dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang falsafah dari Universiti Munich. Pada tahun 1908 beliau kembali ke tanah air dan menceburi bidang undang-undang serta aktif menyampaikan ceramah di universiti-universiti India.

Koleksi ceramah akademik beliau kemudiannya dibukukan dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan judul ‘The Reconstruction of Religious Thought in Islam’ Kesibukan beliau terhadap kerjaya tersebut tidak menghalang minat dan tumpuan beliau dalam bidang kesusasteraan pada satu masa. Muhammad Iqbal banyak mengubah puisinya dalam bahasa Urdu, Parsi dan Inggeris. Puisi besarnya yang terkenal iaitu Asrar-e Khudi (The Secret of the Self) yang ditulis dalam bahasa Parsi. Dalam karyanya ini beliau menegaskan beberapa konsep tentang diri, perinsip kehidupan, alam semesta, dan asas kehidupan manusia.

Hasil koleksi puisinya yang kedua juga ditulis dalam bahasa Parsi iaitu Rumus-e Bekhudi (The Mysteries of Selflessness). Kali ini Iqbal mengimbang balas deria keegoan dan keindividuan dalam karyanya yang pertama dengan idea yang lebih menjurus kepada persaudaraan dan ibadah dalam Islam. Koleksi puisinya yang pertama ditulis dalam bahasa Urdu ialah Bang-e Dara (Seruan Perjalanan) yang lebih bersifat nasionalistik dan bertemakan cinta. Antara puisinya yang terkemudian yang terkenal ialah Khizr-e Rah (Panduan di Perjalanan). Koleksi puisi ini cenderung membuka kesedaran kepada umat Islam agar tidak mudah terpesona dengan kerajaan dan undang-undang Barat.

Walaupun Muhammad Iqbal dibesarkan dalam tradisi intelektual Barat namun beliau tidak menjadikan sistem Barat sebagai model ikutan. Tetapi tidak pula bermakna beliau anti-Barat, ini kerana pada pandangan beliau apa yang harus diambil oleh umat Islam dari Barat adalah ilmu pengetahuan dan kemajuan teknologinya. Dalam syair-syairnya sendiri Iqbal banyak menterjemahkan kesungguhannya untuk membakar semangat umat Islam agar sentiasa bergerak dan maju. Dalam sebuah sajak beliau berkata:“Umat Islam, bila ingin maju, harus mampu berpacu dengan waktu… Sekali umat Islam terhenti, bererti dia membiarkan dirinya tergilas dek sang waktu”.Iqbal melihat seni sebagai mahkota seniman.

Penghayatan seorang seniman terhadap keindahan akan menimbulkan cinta yang mendalam. Dalam menyampaikan tugasnya, seorang seniman harus jujur dan bersungguh-sungguh dalam berkarya. Sebab itulah karya-karya Muhammad Iqbal merupakan ekspresi perasaannya sendiri dan bukan hanya sekadar mewakili yang luar daripada dirinya. Malah idea dan falsafah perjuangan Muhammad Iqbal yang berdakwah melalui karya seninya telah diadunkan dan dijelmakan dengan penuh simbolik terutamanya untuk membangkitkan kesedaran dan membangunkan kekuatan umat Islam. Jika diteliti puisi-puisinya agak cenderung kepada aliran tasawuf. Walau bagaimanapun bentuk tasawuf yang diperjuangkan bukanlah ke arah yang melalaikan dan menidurkan umat Islam, tetapi lebih kepada membangkitkan semangat bekerja dan berjihad.

Keistimewaan dan kebolehan Muhammad Iqbal bukan sahaja sebagai ahli falsafah dan tokoh pemikir malah beliau adalah seorang tokoh mujadid Islam terakhir abad ke-20 yang muncul di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Secara tidak langsung beliau telah meletakkan dirinya ketika itu di tengah-tengah masyarakat Islam yang masih terjajah oleh Barat sebagai sasterawan dan pembina ketamadunan Islam. Keadaan ini menyebabkan beliau muncul sebaris dengan tokoh-tokoh intelektual tradisional Islam sebelumnya seperti al-Razi, al-Farabi, Ibn Sina, dan al-Ghazali, bezanya beliau muncul dalam dunia kontemporarinya yang tersendiri.

Bakat serta kebolehan beliau berkarya melalui puisi-puisi perjuangannya membangkitkan kesedaran umat Islam yang masih terjajah ketika itu. Secara tidak langsung beliau sebenarnya sebaris dengan tokoh-tokoh perjuangan yang membangunkan kemerdekaan masyarakat Asia seperti Jose Rizal, Sun Yat Sen dan lain-lain. Sumbangan besar Muhammad Iqbal ialah apabila beliau dianggap sebagai bapa pembentukan negara Islam Pakistan yang bebas merdeka daripada India. Selain itu dalam kesusasteraan Parsi, Iqbal diiktiraf sebagai salah seorang penyair modennya.

Manakala dalam kesusasteraan Urdu beliau dianggap sebagai penyair agung abad ini oleh penutur bahasa Urdu baik di Pakistan mahupun India dan banyak puisi-puisinya menjadi madah dan kata-kata hikmat bahasa ini. Muhammad Iqbal terus memperjuangkan nasib orang Islam melalui penulisan puisinya sehinggalah beliau meninggal dunia pada 21 April 1938.