Ahad, 15 Mei 2011

Sang guru

Sempena menyambut hari guru, saya berasa terpina-pina untuk menulis sesuatu. Lalu hadir dari hujung akal yang lemah ini, ingin menulis berkenaan guru dan kesedaran intelektual. Menjadi guru merupakan amanah yang berat. Seperti kata syair Syauqi, sang guru hampir menjadi Rasul utusan.

Sebuah hadith menyebut 'My Lord educated (Addaba) me, and made my education (Ta'dib) most excellent"-Prophet SAW. Allah mendidik (addaba) Rasulullah SAW dengan wahyu agung dan menjadikan baginda manusia terbaik dalam mendidik.

Sang guru jika disedari mempunyai peranan yang teramat rapat dengan tugasan Rasul utusan. Lalu jangan disia-siakan lapangan yang luas itu. Ianya perlu diisi dengan meyampaikan tugas risalah nubuwwah dalam lingkungan kemampuan.

Salah satu peranan guru sebagai golongan terpelajar ialah menjadi intelektual sedar. Sang guru yang celik.

Syed Hussein al-Attas menyatakan “ Intelektual adalah orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akaliahnya..pengetahuan tentang sesuatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual walau hal ini seringkali berdampingan;banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya."


Antara karya yang pernah saya baca di perpustakaan Upsi suatu ketika dahulu ialah ide intelektual Edward Said, Represantation of the Intelectuals, katanya seorang intelektual adalah “pencipta sebuah bahasa yang mengatakan kebenaran kepada yang berkuasa”.

Edwad Said ada memetik pandangan Antonio Gramsci dalam Prison Note Book yang menyifatkan semua orang adalah intelektual, tetapi tidak semua memainkan fungsi sebagai intelektual. Beliau memasukkan sang guru sebagai intelektual tradisi yang mengulangi kerja yang sama dari generasi ke generasi iaitu mendidik.

Saya usai membaca buku Minda Tertawan, Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa. Di dalamnya terdapat satu komen buat sang guru. Katanya ‘kalau pada tahun-tahun 1950-an, 60-an dan 70-an, guru-guru dianggap sebagai paksi atau tunggak pada masyarakat setempat, bermula pada tahun-tahun 1980-an dan terutamanya 1990-an, profesi dalam bidang pendidikan tidak lagi dianggap sebagai suatu kerjaya terhormat mala che’gu atau guru dianggap tidak sepenting jurujual, peniaga, orang korporat, ahli politik atau pun lain-lain seumpamanya. Apabila guru-guru tidak lagi dianggap tokoh panutan dalam masyarakat setempat, secara automatis, ilmu juga tidak lagi menjadi wahana penting untuk pembangunan masyarakat."

Syed Hussin al-Attas dalam Intelektual Masyarakat Membangun menyatakan bahawa beliau pernah melontarkan idea tentang peranan guru sebagai penggerak intelektual di Kongres Pertama Porfesyen Guru Seluruh Malaysia 1966. Beliau menganjurkan bahawa profesion guru haruslah merupakan inti bagi masyarakat intelektual.

Dr. Ali Syariati pula membawa ide rausyanfikir dengan menyatakan seorang cendekiawan atau golongan terpelajar perlu terjun ke medan masyarakat mencerah dan menyatakan kebenaran. Sang guru dekat dengan gagasan ini.

Manakala Mohammd Natsir pula menjelaskan peranan sang guru sebagai ulul albab perlu serius di hayati. Lalu saya berasa peranan sebagai ulul albab inilah yang menjadi pusat dan menaungi kegiatan keguruan.

Rumusan

1. Peranan sang guru dalam memikirkan masalah-masalah pendidikan dalam lingkungan dan mencari penyelesaian.

2. Mendidik dengan kuasa al-hubb (kasih sayang) dan hikmah, bukan dengan amarah (kemarahan).

3. Peranan sang guru sebagai ulul-albab mesti memainkan peranan sebagai penyampai risalah dalam lingkungannya, mencerah dan mengembalikan generasi kepada penghayatan Rabbani ( rasa bertuhan).

4. Peranan sang guru sebagai pendidik perlu menyatakan kebersamaan dalam setiap inci masalah ummat dan menyampaikan kebenaran sama ada dalam linkungan sekolah-murid, masyarakat dan Negara.

5. Peranan sang guru tidak hanya terikat kepada sang pemerintah, bahkan mereka perlu berani untuk menyampaikan wacana kebenaran kepada sang penguasa dan sesiapa sahaja dengan neutral.

6. Memahami peranan sebagai pendidik Muslim-Mukmin dalam konsep 5M-murabbi-mu'allim-muaddib-mudarris-mursyid.

Wallahu'aklam.

Rujukan:

Reperesentation of the Intelectual- Edward Said.
Intelektual Masyarakat Membangun-Syed Hussein al-Attas
Ar-Rasul Muallim-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah
Minda Tertawan, Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa-Raja Ahmad Aminullah
Warisan Syariati- Editor Ahmad Sabry Chik
Mohammad Natsir Pendidik Ummah -Gamal Nasir