Sabtu, 26 Februari 2011

Sang guru, dirimu pemilik risalah


Bismillahirrahmanirrahim. Sang guru, dirimu pemilik risalah.

Syukur, dalam kekalutan menguak samudera kehidupan, saya mencari-cari ruang untuk menulis lagi dan lagi. Menulis sudah menjadi bahagian hidup saya. Setelah tiga minggu berada dalam realiti pendidikan sekolah, baru saat ini saya diberi deria rasa yang menjentik hati seterusnya menolak jari-jari ini untuk menulis, Alhamdulillah.

Benar, persediaan untuk berada di alam sekolah, secara tidak langsung sudah saya buat disaat berada pada akhir semester 7. Kami yang terdiri daripada 5 jejaka lelaki Pendidikan Perakaunan telah menyusun atur banyak kerja akademik luar, menjenguh lapangan luar universiti termasuk beramah dengan guru-guru sekolah serta mendapat pendedahan daripada En. Hashim NUTP. Dari situ kami mendapat banyak kritikan dan pendedahan guru-guru lama berkenaan dunia pendidikan.


Telahan tentang ragam dunia sekolah yang didengari tanpa dirasai sebelum ini telah pun saya rasa. Sudah dirasai selama tinggu minggu menjadi 'novice teacher' (guru pelatih). Telahan itu ada benar, ada salah dan ada harapannya. Benar, dunia pendidikan bukan mudah. Benar untuk mengajar perlu mujahadah.

Tuntasnya, harus saya akui dengan jujur, menjadi guru tidak mudah. Pengalaman saya selama tiga minggu disekolah telah mengajar banyak perkara, daripada telatah para pelajar, telatah para guru, ragam sosial, ragam pentadbiran, hinggalah perihal politik-pendidikan dapat saya baca dengan tenang.

Sepanjang itu juga, saya menjadi pemerhati, "seorang 'guru novis' harusnya tidak campur urusan-urusan yang tidak berkaitan dengannya, mendengar untuk mengambil pengajaran dan pengalaman adalah lebih baik", ujar saya dalam benak fikiran.

Berada disekolah yang bukan semua pelajar mempunyai motivasi yang tinggi untuk belajar, tidak punyai keupayaan akal yang sama dengan perlajar cerdik-pandai di sekolah pilihan serta tidak punyai motivasi kental dari institusi keluarga menjadikan saya bertemu dengan sebuah realiti sebenar pendidikan.

Saya masuk ke kelas, upaya setengah daripada mereka untuk belajar berada pada tahap rendah, tidak mampu menulis, bahkan ada yang merangkak membaca seterusnya tiada rasa hormat terhadap guru menjadikan kepala saya pusing memikirkan pendekatan terbaik. Paling menggusarkan saya adalah, masih yang disaat tingkatan 4 tidak mampu membaca al-Quran.

Sang guru, dirimu pemilik risalah.

Sekolah, sang guru adalah intinya, sekolah hanyalah kulit. Sang guru layaknya menyedari diri adalah sang pemilik risalah. Pemilik risalah wahyu yang ditanzilkan. 'No excuse' , itulah kewajipan utama dibawah panji 'inni jaailun fil ardi khalifah'. Saya berasa gusar, sungguh gusar memikirkan sirna masa depan generasi baru ini.

Saat membelek susunan buku-buku ayahanda diperpustakaan rumah, saya bertemu dengan sebuah buku bertajuk 'Kaifa Tashbiha Mu'alliman Mutamayyizan" (Menjadi Guru Cemerlang dan Dirindui). Selayaknya, saya tidak layak untuk menjadi sosok guru dari seuntai syair yang dipetik daripada Syauqi. Syauqi berkata , tiada yang tahu akan nasibku:

"Jadilah seorang guru yang didalamnya ada kemuliaan
Ikatlah tebusanmu, apakah ada orang yang mulia,
Siapa yang mendidik anak kecil maka ia akan disayang
Ku hampir terbang dengan ucapan sang sultan
Sang guru hampir menjadi seorang Rasul utusan
Jika Syauqi benci pada pendidikan, satu saja
Pasti kehidupan akan penuh penderitaan dan kebodohan
Seratus persen guru adalah obor kebaikan
Hingga orang buta menemukan jalan"

Sang guru, dirimu pemilik risalah. Menjadi pemilik risalah perlu dengan wira usaha . Bergelut dengan samudera ilmu memerlukan kesungguhan yang berterusan. Memerlukan tunjuk ajar yang berpanjangan serta memerlukan keikhlasan yang meresapi roh dan jiwa. Kerana guru adalah roh, inti, elemen utama, dan batu pondasi dalam pendidikan.

Belajarlah sambil mengajar, pengalaman tidak terdapat seperti angan-angan, kerjakan dengan berterusan. Mengajar sambil belajar, itu yang terbaik, saat kalian memerlukan pengisalahan, sumbernya tetap disisi Tuhan.

Saya ingin berkongsi banyak perkara perihal pendidikan. Cukup sekadar itu dikesempatan ini. Sehingga sempat menulis lagi.