Ahad, 30 Januari 2011

Bayang-bayang pemuda dibalik revolusi

1. Saya bawa seuntai syair seorang filasuf ulung Islam, Muhammad Iqbal. "..bangunlah engkau wahai pemuda, tidakkah engkau mendengar bisikan Muhammad (SAW), kamulah sebaik-baik umat..". Pastinya, dibalik perubahan, revolusi, reformasi dan revival , bayang-bayang hidup sang pemuda mesti kelihatan ada.

2.Disaat saya menulis 'seni luahan nalar' ini, cuaca di kampung agak ribut dengan angin monsun yang kencang bertiup. Sejuk dan enak cuacanya. Sudah berhari-hari tidak henti-henti. Seolah-olah bertiup bersama alunan revolusi.Dunia-Arab yang gersang itu pula sedang diributkan dengan angin revolusi. Tunisia menjadi pencetus. Sedang merebak ke Egypt ( Mesir) mungkin membarah hingga ke Jordan dan Algeria.

3. Saksikanlah dunia, diktator itu telah rebah menyembah rakyat. Sejarah tidak pernah membohongi manusia. Diktator elit pasti gugur. Tinggal lambat atau cepat. Pemuda yang menjadi bayangan hidup sebuah revolusi itu, menyahut seuntai syair Iqbal, menyedari diri sebaik-baik umat.

4. Seorang ikon revolusi dengan nama gelaran terkenal beliau dimata generasi muda-mudi sebagai Che Guevara pernah menyatakan 'revolusi bukanlah seperti sebiji epal yang gugur setelah ranum masak. Sebaliknya kamu yang mesti menggugurkannya'.

Kredit kepada Revolusi du Jasmin

5. Itu yang berlaku di Tunisia. Muda-mudi mereka telah menggugurkan biji-biji epal-berupa pemerintah yang telah busuk, berulat dan hitam yang berpuluh-puluh tahun bertahkta, tergantung di pohonan tiada sebarang untung bahkan merugikan. Suara 'revolusi' lah yang menggugurkannya.

6. Diktator itu jatuh jua. Dikala berkuasa dia menindas dan menyalahguna kuasa. Memenjara ilmwuwan, membodohkan mahasiswa. Menyepit kejap mulut para intelektual masyarakat.

7. Untuk apakah revolusi ? Revolusi langsung tiada erti jika runtuh diktator diganti diktator pula. Jika lenyap penyembahan kepada sesama manusia dan diganti kepada penyembahan kepada manusia lain pula. Jika keluar dari mulut tirani masuk ke mulut liberalisme. Tiada makna. Kosong, tiada erti sebuah revolusi.

8. Revolusi yang kita mahu untuk menyelamatkan umat manusia dari kehancuran, kerosakan peradaban Barat. Bebas dari terjajah minda. Revolusi artinya membawa perubahan yang melahirkan perhambaan manusia hanya kepada Allah dalam segenap lapangan kehidupan.

9. Almarhum Syeikh Fathi Yakan dalam bukunya 'As-Syabab wa Taghyir' (Pemuda dan Revolusi-perubahan) menggariskan bahawa, 1. Revolusi Islam adalah revolusi total-manhaj menyeluruh merangkumi segala perihal kehidupan dan universal; 2. Revolusi yang bersifat aqidah-jiwa aqidah dimana revolusi tidak dianggap tujuan, tetapi sebagai alat untuk mencapai perintah Illahi dan

10. Seterusnya garisan revolusi ke-3 menurut syeikh-haraki tersebut adalah, revolusi Islam adalah revolusi kemanusiaan -jalan menuju kebaikan tidak bisa ditempuh dengan cara merosakkan manusia, kemudahan dan kepentingan awam, tidak membangun piramid dengan tengkorak dan darah manusia.

11. Pengakhiran sebuah revolusi ialah membawa kesejahteraan di mata dunia dan di darul akhirat. Wahai Tuhan. Bantulah aku untuk bersedia. Bersedia sentiasa untuk menyahut seruan sebaik-baik umat.

12. Saya tutup nukilan ini dengan nasihat berat dari Muhammad Iqbal. Nasihat yang kena pada realiti diri. Moga ianya menjadi penguat hati. Sajaknya berbunyi :

"Telahkah engkau siap dizaman ini,
Untuk menyambut sang surya diufuq fajar,
Kelopak matamu terlalu berat untuk menyambut azan pagi,
Subuhmu masih tenggelam dalam selimut tebal,
Sejadahmu putih bertabur debu,
Mihrabmu dipenuhi sarang laba-laba,
Khatibmu digiring kemimbar dengan pedang kayu,
Pekikan jihad tidak lagi membahana di kalbumu,
lalu.. dan lalu,

Sudah engkau siap diabad ini..?