Isnin, 31 Ogos 2009

Bicara Merdeka Seorang Guru Tua


Lima dasawarsa yang lalu
aku, anak desa yang dungu serba tak tahu
hanya ikut-ikutan melulu
memekik “Merdeka! Hidup Tunku!” bertalu-talu.


Hingga tiba ketika aku berani bertanya
ruh dan makna sepatah kata,
meminta bukti nyata sebuah cerita
“Merdeka”.


Kutadah segala madah
Kuperah khazanah hikmah
Kutemukan daulat karamah insaniyah
Mulia perkasa dengan al-‘izzah.
Merdeka siapa cuma mengenyah penjajah
Merdekaku meraih ‘izzah
Deklarasi syahadah: la ilaha illa ’Llah
menyanggah berhala seribu wajah
mengenyah segala bedebah penjajah, penjarah, penjenayah.


Kubongkar pendaman fakta
Kubuka kitab pusaka
Terserlah deretan nama
Wira merdeka bukan Tunku sahaja
Ramai yang mendahuluinya.


Mendadak aku bertanya
sejarah bikinan siapa?
Merdekakah kita,
julingkah mata sarjana
apabila tidak bersuara
tentang pahlawan tak dikenang
wira tak didendang?


Lima dasawarsa lamanya
banyak kata belum terkota
banyak lagi rupa tak seindah berita.
Bagi generasi yang semakin tak mengerti
kata merdeka bak mantra yang hilang sakti
dan mereka semakin tak peduli.


Jiwa merdeka sirna ditelan pesta
Matilah rasa hilanglah peka
betapapun gegak gempitanya
pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Tetapi semerta terbelalak mata
bila setan korupsi menggoda,
“Mau duit ka? Mau duit ka? Mau duit ka?”


Gejala pesona yang kian menggila
menginjak taqwa menganjak jiwa
merdeka dengan Ketuhanan Yang Maha Esa
menjadi hamba kewangan yang “maha berkuasa”.
Pada Hari Merdeka yang ceriaku
simpan tangis di balik tawaku
pendam cemas di tengah pesta.
Akan terjualkah merdeka kita?

Siddiq Fadzil
KDH: 31 Ogos 2007.

Dikutip dari Buku Siddiq Fadzil, Mensyukuri Nikmat Menginsafi Amanat Sempena 50 Merdeka (Kajang: Wadah&Akademi Kajian Ketamadunan, 2007)
www.khairaummah.com

Selasa, 11 Ogos 2009

Minda Ditawan Hedonisme, Pembunuh Nilai Intelektual Pendidik:Sorotan Kampus UPSI

Sorotan ini dibawa tatkala timbul beberapa isu penting dalam kubik kehidupan masyarakat kampus yang bakal melahirkan guru-guru yang akan menjadi pemain penting dalam mencorak pelajar dan generasi akan datang.

Lewat isu konsert yang membawa Jacklyn Victor mahupun artis kontroversi Faizal Tahir yang banyak mempengaruhi minda dan pandang alam masyarakat kini, saya tidak mahu menyatakan dari sudut hukumnya konsert itu, sebab saya bukanlah penghukum dan tidak selayaknya menghukum, ianya boleh dirujuk menerusi pandangan Islam yang sudah banyak merungkai persoalan hukum muzik ini (lihat disini JAKIM). Namun persoalannya bagaimana penilaian kita terhadapnya, adakah tepat dan ianya adalah bergantung kepada nada keikhlasan hati terhadap apa yang digariskan sama ada ia menepati atau tidak.

Saya juga tidak menyentuh isu yang diceritakan dalam UPSIKINI tetapi disini saya cuba untuk menyatakan model pembunuhan budaya keintelektualan dan daya sensitiviti masyarakat kampus terhadap permasalahan ummah.

Lantas pembunuhan intelektual ini datang dalam bentuk yang cukup halus dan mengelirukan tanpa kita sedari yang natijahnya akan melahirkan mahasiswa atau guru yang tidak responsif terhadap masalah ummah, masalah sosial pelajar, masalah masyarakat dan negara sebaliknya hanya berminda segalanya untuk hidupku biarkan orang lain asalkan hidupku selesa. Seperti kata seorang sarjana Hasrizal Jamil sebagai golongan yang dihinggapi penyakit ‘aku tidak pedulisme’.

Sejalan dengan tanggapan kritis ini, cendekiawan semasa sudah banyak menyinggung akan perihal ini. Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadhil bekas profesor UKM sudah acap kali menyatakan kerisauan beliau terhadap proses pembunuhan intelektual yang halus ini, lantas menukilkan dalam satu makalah yang dipetik berikutnya :

“Di mana-mana orang mulai menyuarakan keprihatinan bahawa kampus-kampus IPT yang tampak mewah, megah dan gagah itu tidak lagi dapat menyembunyikan hakikat kelumpuhan dinamikanya sebagai institusi pemerkasaan dan pencerdasan generasi muda. IPT semakin kehilangan wibawa sebagai pusat kecendekiawanan yang bebas, kritis dan artikulatif. Warga IPT sudah semakin tidak mampu menegakkan kebenaran dan kedaulatan ilmu. Segalanya telah diputuskan dan diatur berasaskan kepentingan politik penguasa dan perkiraan untung rugi sektor korporat pendana”.

Hakikat pembunuhan intelektual mahasiswa hadir dalam beberapa bentuk yang sudah menjadi normalisasi kehidupan kampus masa kini . Ingin saya menghuraikan satu sahaja iaitu dalam jelmaan hedonisme

Hedonisme berasal dari perkataan Yunani iaitu hedone bererti kesenangan (keseronokan) dan isme beerti fahaman. Lalu disimpulkan maksudnya sebagai suatu kefahaman yang dimiliki individu sehingga perilakunya dimotivasi oleh keinginan untuk mencapai keseronokan iaitu hedone yang perkembangan selanjutnya menyebabkan seseorang mengambil jalan keseronokan dan mengelakkan kesusahan dan kesengsaraan.

Ramai menggunakan hujah bahawa hiburan dalam bentuk konsert seperti semalam bukanlah sesuatu melampau. Saya tidak mahu menghuraikan perihal itu namun sebaliknya apa yang mahu dinyatakan ialah kesan keatas pemikiran dari budaya tersebut menyebabkan berlaku doktrin terhadap budaya dan pemikiran untuk mengambil kesenangan dan takut serta mengelakkan dari mengambil kesusahan. Sejak beradanya saya selama dua tahun di UPSI ini , budaya (konsert) ini berterusan setiap tahun dan sesi konvokesyen sehingga hari ini. Maknanya doktrin (konsert) ini sudah agak lama bertapak dan sudah menjadi budaya.

Hasil doktrin untuk sentiasa berada dalam keselesaan, mendengar muzik, bersantai, ber ’couple’, berkonsert, maka natijahnya melahirkan golongan yang mewah dan sentiasa selesa dengan kehidupan. Minda tawanan seperti ini akan mengakibatkan seseorang itu seakan-akan ular sawa yang kekenyangan lantas duduk berlingkar tanpa menghiraukan sekelilingnya’.

Jika kita predicting the future (anggarkan masa depan) apa yang akan berlaku jika minda tawanan hedonisme ini berada disekolah yang beraksi sebagai seorang guru? Lantas minda untuk membebaskan diri dari kesusahan ini akan diteruskan akibat doktrin hedonisme di universiti sudah menawan pemikiran mereka.

Lalu, natijahnya sikap tidak peduli itu timbul, asalkan aku selesa dapat gaji, biarkan pelajar mahu jadi apa sekali pun. Kesedaran atau consciousness tidak lagi wujud dalam minda untuk membebaskan remaja dari keruntuhan sosial pemikiran kerosakan akhlaq yang menggebu-gebu kini. Penangan budaya seronok ini amat dashyat dan kesannya bukan bersifat fizikal tetapi sebaliknya berbentuk pemikiran.

Kerana hakikat untuk membebaskan pelajar dari masalah sosial memerlukan pengorbanan yang tinggi, terpaksa sentiasa dalam kesusahan, membebaskan diri dari keseronokan dan terkadang mengorbankan kewangan. Kerana tidak cukup seorang guru hanya menjadi seorang pengajar tetap bukan pendidik.

Lalu akibat pemikiran hedonis ini, lahirlah guru yang senantiasa mengelak dari kesusahan mendidik maka kesannya lahirlah pelajar yang pandai tetapi tiada nilai (akhlaq atau moral), lahirlah pelajar yang semakin meningkat gejala sosialnya dari hari ke hari. Masakan seorang guru yang mindanya juga hedonis mampu melahirkan pelajar yang baik! Tidak logik kan .

Siapa hendak dipersalahkan ? Pemimpin atau pentadbir universiti? Mahasiswa sendiri ? atau kita saling menuding jari mengelak untuk dipersalahkan dari tanggunjawab yang bersama ini. Lalu kita minta dijauhkan dari menjadi golongan serba salah dalam menyatakan kebenaran.

Singgungan al-Quran jelas menyatakan diatas seperti disebut sarjana Isalm Dr. Siddiq Fadzil al-Qur’an mengingatkan nasib buruk itu(nasib kematian intelek) mungkin menjadi lebih buruk lagi, apabila mereka menjadi buta dan pekak sama sekali: lahum qulubun la yafqahuna biha, wa lahum a`yunun la yubsiruna biha, wa lahun adhanun la yasma`una biha, ula’ika ka ‘l-an`ami bal hum adall. Demikianlah pemerian Qur’ani tentang generasi manusia yang hilang kemanusiaannya, lalu merudum martabatnya sedarjat dengan haiwan ternakan (al-an`am) apabila hati tidak lagi mengerti, apabila otak tidak berfikir bijak, apabila mata tidak melihat fakta, apabila telinga tidak mendengar yang benar.

Proses pencerahan minda perlu diteruskan oleh mahasiswa sendiri, keluar dari kepompong minda ditawan hedonisme ini serta kembali kepada pencerahan intelek kearah minda sensitif dan responsif terhadap massa. Paulo Freire tokoh pendidik Brazil dan pemikiran pembebasannya dari belenggu kebiasaan telah menyatakan peri penting pembebasan dari dogma lapuk seperti hedonisme kearah pencerahan kesedaran dan keintelektualan.

Kita sedang menyaksikan gejala ironis, kemarau intelektual di tengah banjir graduan. Rupa-rupanya yang namanya intelektual bukan sekadar pemilik ijazah tinggi. Intelektual adalah manusia pemikir, dunia intelektual adalah dunia idea, dialog dan wacana yang kritis, cerdas dan bebas. Kesuburan intelektual sebenarnya banyak ditentukan oleh faktor kualiti kepimpinan dan dasar pemerintahan. (Dr. Siddiq Fadhil)

Di tengah banjirnya bakal pendidik ini, rupa-rupanya bukan semua boleh dipanggil pendidik intelek, sebaliknya pendidik yang bijaksana (intelek) ialah yang memikirkan persoalan pembebasan dan pencerahan individu (pelajar ) dan masyarakat dari belenggu kegelapan kepada kecerahan (al-akhrij qaumaka min azzulumat ti ila an-nur).

Lalu kita lihat doktrin hedonis cukup bahaya dalam mematikan semangat intelek pendidik yang sepatutnya berperanan untuk menjadi penghubung, pemikir dan pengimbang kepada masyarakat lantaran minda ditawan hedonis menyebabkan mereka mengambil jalan keseronokan dan malas berfikir tentang masalah sosial yang berlaku.

Begitulah hujjah dan logika bahayanya hedonisme yang datang dalam pelbagai bentuk seperti budaya couple, berkonsert melampau, berseronok sepanjang masa dan lainnya. Natijahnya bukan dalam bentuk fizikal sebaliknya lahir dalam bentuk pemikiran yang mewujudkan tindakan.

Tindakan sama ada menjadi seorang pendidik yang responsif terhadapa masalah sosial pelajar atau sebaliknya. Ianya bersifat jangka panjang yang natijahnya memberi kesan untuk masa depan dan kesannya (hedonisme) akan berpanjangan sekiranya tidak dilakukan proses pembuangan penyakit ini.