Isnin, 29 Ogos 2011


In the West, Intellect is the source of life,
In the East, Love is the basis of life.
Through Love, Intellect grows acquainted with Reality,
And Intellect gives stability to the work of Love,
Arise and lay the foundations of a new world,
By wedding Intellect to Love.

-Allamah Dr. Muhammad Iqbal-






Selasa, 2 Ogos 2011

Mengenali Gerakan Gulen

Salah satu bahan yang mesti dibaca dalam kamus bacaan saya ialah buku-buku biografi tokoh Islam kontemporari.

Selepas membaca buku biografi Rachid Ghannouchi-tokoh gerakan Islam (Renaissance Party) disebalik revolusi Tunisia, kini saya sedang menghabiskan bacaan biografi seorang tokoh sufi-intelektual-pendidik asal Turki. Tokoh itu ialah Fethullah Gulen.

Aliran pemikiran Fethullah Gulen kurang popular di Malaysia-agaknya. Mungkin kerana pendirian beliau yang agak 'apolitical', jarang menjadi bualan masyarakat yang saban hari bergelut dengan ranjau politik-isu.

Cendekiawan di Barat melihat beliau sebagai seorang 'moderate' Islam. Islam yang sederhana ( ikut definisi mereka). Fethullah Gulen telah menginspirasikan sebuah gerakan yang dikenali Gulen Movement.

Beliau dilahirkan di Turki pada 1941 dan menjadi imam, penceramah, guru, penyair dan tokoh terkenal di Turki antara 1970-1980. Kemudian berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1999.

Aliran sederhana yang dibawa dari tradisi Islam Ottoman dalam gerakan Gulen menjadikan gerakannya sebagai jambatan yang menghubungkan antara Islam dan barat.

Fethullah Gulen mendapat pendidikan awal di sebuah kampung di Turki dan mendapat didikan dan idea pemikiran dari seorang tokoh dakwah-pendidikan terkenal Syeikh Bediuzzaman Said Nursi. Melibatkan diri dalam usrah Nursi (Nursi reading circle) dengan mempelajari ilmu-ilmu asas Islam (Islamic sciences) tanpa memencilkan diri dengan ilmu moden-sains dll.

Ibunya pernah mengajar al-Quran secara sembunyi-sembunyi diera pemerintahan Ataturk-Kemalist government. Era pengharaman pendidikan Islam kepada masyarakat umum.

Pemikiran sufi beliau di inspirasi oleh guru-gurunya seperti Sheikh Muhammad Lutfi Efendi. Permulaan kefahaman beliau tentang aliran sederhana-Islam tatkala membaca tulisan Said Nursi yang mendidik Muslim supaya tak menolak 'modernity' tetapi mencari sumber inspirasi dari teks suci agama untuk memandu kehidupan moden.

Beberapa idea utama yang di promosikan oleh Fethullah Gulen:

1. Membina jambatana antara Islam dan Barat
2. Gerakan pendidikan
3. Gerakan sosial, memberi dana kepada projek sukarela (civil society) atas roh memberi dan berkhidmat.
4. Dialog antara budaya dan agama.
5. Islam bukan teroris
6. Hubungan antara negera dengan agama.

Gerakan Gulen merupakan gerakan sivil-masyarakat madani yang tidak didanai oleh kerajaan atau mana-mana pemerintah. Ianya tak dipengaruhi oleh pemerintah mahupun ideologi-ideologi politik. Gerakan ini memberi kesedaran sosial, intelektual, kesederhanaan Islam dan pendidikan.

Fokus gerkan ini secara keseluruhannya memberi penekanan kepada perubahan individu dan pendidikan individu. Meningkatkan kesedaran kerohanian dan keintelektualan individu dengan mengukuhkan keupayaan dalaman yang akan menguatkan diri untuk menggerakkan perubahan dalam masyarakat.

Gerakan Gulen adalah gerakan yang memberi kesedaran keimanan, non-political, kebudayaan, dan gerakan pendidikan yang menyediakan peluang kepada generasi muda Muslim di Turki untuk kembali kepada Islam.

Tidak hairan jika gerakan ini telah berjaya menubuhkan beberapa universiti , hospital dan lebih 1000 buah sekolah diseluruh dunia serta menjadi 'international movement'. Mungkin kejayaan kerajaan AKP pimpinan Erdogan mentadbir Turki selama ini turut disumbang oleh gerakan yang mempunyai jutaan keahlian ini.

Saya akan mengulas gerakan pendidikan Gulen pada nukilan akan datang. Insha-Allah.

Selasa, 26 Julai 2011

Saya bergelar graduan

Syukur pada Ilahi. Segala perolehan ilmu dan pengalaman dalam pertarungan akal, emosi dan rohani di gedung ilmu universiti selama 4 tahun telah mendapat tuaiannya dengan segulung ijazah. Ijazah pendidikan yang berjaya di gapai mungkin sarat dengan ilmu dan pengalaman. Mungkin juga hanya sekeping kertas kosong tanpa kesedaran.

Saya menyambut hari konvokesyen dengan nada kesyukuran kepada Tuhan dan terima kasih buat ayah,ibu, keluarga, guru-guru dan teman-teman seperjuangan. Kejayaan bukan milik seorang tanpa ada guru dan teman yang menunjukkan jalan, tanpa ada ibu dan ayah yang menyerikan.
.

Segulung ijazah pendidikan bukan milikmu seorang
Melainkan sebuah kejayaan bersama guru dan teman seperjuangan

Segulung ijazah pendidikan bukan milikmu seorang
Melainkan ada amanah yang perlu ditunaikan

Segulung ijazah pendidikan bukan milikmu seorang
Melainkan sebuah amanah keilmuan untuk disampaikan

Perjalanmu tentu keseorang
Melainkan dengan ilmu yang mencerahkan

Perjalananmu masih panjang
Maka dekatkanlah dirimu dengan Tuhan
.


Pesan Murabbi ummah, Dr Siddiq Fadhil kepada graduan, katanya "hari pengijazahan adalah hari bersejarah dalam hayat seorang pemburu ilmu.Ia harus dimaknai secara yang benar sesuai dengan tingginya nilai ilmu dan beratnya amanah keilmuan."

Kini, persoalan selepas yang perlu difikirkan, agar terus istiqamah dijalan kebenaran. Moga menjadi pendidik yang melunas amanah keilmuan. Melunas tugas pendidik khaira ummah.

Jumaat, 22 Julai 2011

Ramadan dan usia

Ulangan hari dan bulan yang kita lalui saling memberi makna kepada sebuah perjalan kehidupan. Berulangnya hari dan bulan yang dilalui menunjukkan semakin hampir usia kita menuju hari tua, semakin dekat menuju kematian dan semakin hampir dengan hari pembalasan.

Kembalinya Ramadan menjadi penanda kepada kita bahawa usia ini sedang dimamah masa. Masa yang pantas berlalu tanpa menunggu. Bebanan fikiran, jiwa dan amalan bertambah.Dosa-dosa juga turut bertambah.

Ramadan tidak memberi apa-apa makna melainkan satu bulan yang hanya mempunyai 30 hari.Ramadan ini tetap dimulai dengan anak bulan, disulam cahaya rembulan dan diakhiri dengan kegelapan. Bintang dan awan seperti adanya.Tidak banyak berubah dari mata kasar manusia.

Yang berubah hanya manusia dan usia. Yang berubah hanya amal dan dosa. Ya, berubah kepada amal bertambah dan dosa berkurang atau dosa bertambah dan amal berkurang. Pastinya kita sendiri yang menentukan natijahnya.

Ramadan dan usia. Bersyukurlah. Usia yang diberikan untuk kesekian kalinya menemukan kita kembali dengan Ramadan. Jodoh ini anugerah Tuhan. Satu anugerah Tuhan tanda cinta kepada hambanya.

Usia kita dijodohkan buat kesekian kalinya dengan Ramadan. Itu bererti peluang. Peluang untuk kembali ke jalan pulang. Pulang menempatkan diri di tempat yang seadanya bagi hamba.

Tidakkah bulan ini dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan durjana.

Lalu usia ini tidak lagi boleh dilengahkan. Usia ini perlu dimanfaatkan. Pertemuan dengan ramadan peluang mengembalikan diri kepada Tuhan yang Maha Menyayangi. Tuhan yang menunggu penyesalan sang hamba. Tuhan yang menunggu sujud dan solat. Tuhan yang menunggu doa dan taubat. Tuhan yang menunggu untuk memberi seluas keampunan.

Ayuh! Kita tak punya banyak masa dan peluang. Usia ini hanya "baina sittin wa sab'in"-antara 60 ke 70 tahun. Jodoh kita dengan Ramadan bukan ketentuan manusia. Mungkin tidak ketemu lagi buat kesekian kalinya di masa hadapan.

Ramadan tidak memberi apa-apa makna. Ramadan menunggu kita untuk memberi makna. Usia dan Ramadan menunggu kita untuk dimaknai. Dimaknai dengan penuh keinsafan dan keberanian, agar usia tidak sia-sia dengan kelalaian.

Ya Allah, ajarkanku taqwa dalam bentuk jihad agar aku tidak kelalaian dek kekosongan masa dan terkalahkan dek kesibukan ketika.
Welcome O Ramadan. Wa Rabbu Tawwabun Syakur.


*Motivasi Ramadan. Nukilan ini dikarang di hening malam 23 Sya'ban, mengharap diberi kesempatan bertemu Ramadan. Amin.

Ahad, 15 Mei 2011

Sang guru

Sempena menyambut hari guru, saya berasa terpina-pina untuk menulis sesuatu. Lalu hadir dari hujung akal yang lemah ini, ingin menulis berkenaan guru dan kesedaran intelektual. Menjadi guru merupakan amanah yang berat. Seperti kata syair Syauqi, sang guru hampir menjadi Rasul utusan.

Sebuah hadith menyebut 'My Lord educated (Addaba) me, and made my education (Ta'dib) most excellent"-Prophet SAW. Allah mendidik (addaba) Rasulullah SAW dengan wahyu agung dan menjadikan baginda manusia terbaik dalam mendidik.

Sang guru jika disedari mempunyai peranan yang teramat rapat dengan tugasan Rasul utusan. Lalu jangan disia-siakan lapangan yang luas itu. Ianya perlu diisi dengan meyampaikan tugas risalah nubuwwah dalam lingkungan kemampuan.

Salah satu peranan guru sebagai golongan terpelajar ialah menjadi intelektual sedar. Sang guru yang celik.

Syed Hussein al-Attas menyatakan “ Intelektual adalah orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akaliahnya..pengetahuan tentang sesuatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual walau hal ini seringkali berdampingan;banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya."


Antara karya yang pernah saya baca di perpustakaan Upsi suatu ketika dahulu ialah ide intelektual Edward Said, Represantation of the Intelectuals, katanya seorang intelektual adalah “pencipta sebuah bahasa yang mengatakan kebenaran kepada yang berkuasa”.

Edwad Said ada memetik pandangan Antonio Gramsci dalam Prison Note Book yang menyifatkan semua orang adalah intelektual, tetapi tidak semua memainkan fungsi sebagai intelektual. Beliau memasukkan sang guru sebagai intelektual tradisi yang mengulangi kerja yang sama dari generasi ke generasi iaitu mendidik.

Saya usai membaca buku Minda Tertawan, Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa. Di dalamnya terdapat satu komen buat sang guru. Katanya ‘kalau pada tahun-tahun 1950-an, 60-an dan 70-an, guru-guru dianggap sebagai paksi atau tunggak pada masyarakat setempat, bermula pada tahun-tahun 1980-an dan terutamanya 1990-an, profesi dalam bidang pendidikan tidak lagi dianggap sebagai suatu kerjaya terhormat mala che’gu atau guru dianggap tidak sepenting jurujual, peniaga, orang korporat, ahli politik atau pun lain-lain seumpamanya. Apabila guru-guru tidak lagi dianggap tokoh panutan dalam masyarakat setempat, secara automatis, ilmu juga tidak lagi menjadi wahana penting untuk pembangunan masyarakat."

Syed Hussin al-Attas dalam Intelektual Masyarakat Membangun menyatakan bahawa beliau pernah melontarkan idea tentang peranan guru sebagai penggerak intelektual di Kongres Pertama Porfesyen Guru Seluruh Malaysia 1966. Beliau menganjurkan bahawa profesion guru haruslah merupakan inti bagi masyarakat intelektual.

Dr. Ali Syariati pula membawa ide rausyanfikir dengan menyatakan seorang cendekiawan atau golongan terpelajar perlu terjun ke medan masyarakat mencerah dan menyatakan kebenaran. Sang guru dekat dengan gagasan ini.

Manakala Mohammd Natsir pula menjelaskan peranan sang guru sebagai ulul albab perlu serius di hayati. Lalu saya berasa peranan sebagai ulul albab inilah yang menjadi pusat dan menaungi kegiatan keguruan.

Rumusan

1. Peranan sang guru dalam memikirkan masalah-masalah pendidikan dalam lingkungan dan mencari penyelesaian.

2. Mendidik dengan kuasa al-hubb (kasih sayang) dan hikmah, bukan dengan amarah (kemarahan).

3. Peranan sang guru sebagai ulul-albab mesti memainkan peranan sebagai penyampai risalah dalam lingkungannya, mencerah dan mengembalikan generasi kepada penghayatan Rabbani ( rasa bertuhan).

4. Peranan sang guru sebagai pendidik perlu menyatakan kebersamaan dalam setiap inci masalah ummat dan menyampaikan kebenaran sama ada dalam linkungan sekolah-murid, masyarakat dan Negara.

5. Peranan sang guru tidak hanya terikat kepada sang pemerintah, bahkan mereka perlu berani untuk menyampaikan wacana kebenaran kepada sang penguasa dan sesiapa sahaja dengan neutral.

6. Memahami peranan sebagai pendidik Muslim-Mukmin dalam konsep 5M-murabbi-mu'allim-muaddib-mudarris-mursyid.

Wallahu'aklam.

Rujukan:

Reperesentation of the Intelectual- Edward Said.
Intelektual Masyarakat Membangun-Syed Hussein al-Attas
Ar-Rasul Muallim-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah
Minda Tertawan, Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa-Raja Ahmad Aminullah
Warisan Syariati- Editor Ahmad Sabry Chik
Mohammad Natsir Pendidik Ummah -Gamal Nasir