Selasa, 11 Ogos 2009

Minda Ditawan Hedonisme, Pembunuh Nilai Intelektual Pendidik:Sorotan Kampus UPSI

Sorotan ini dibawa tatkala timbul beberapa isu penting dalam kubik kehidupan masyarakat kampus yang bakal melahirkan guru-guru yang akan menjadi pemain penting dalam mencorak pelajar dan generasi akan datang.

Lewat isu konsert yang membawa Jacklyn Victor mahupun artis kontroversi Faizal Tahir yang banyak mempengaruhi minda dan pandang alam masyarakat kini, saya tidak mahu menyatakan dari sudut hukumnya konsert itu, sebab saya bukanlah penghukum dan tidak selayaknya menghukum, ianya boleh dirujuk menerusi pandangan Islam yang sudah banyak merungkai persoalan hukum muzik ini (lihat disini JAKIM). Namun persoalannya bagaimana penilaian kita terhadapnya, adakah tepat dan ianya adalah bergantung kepada nada keikhlasan hati terhadap apa yang digariskan sama ada ia menepati atau tidak.

Saya juga tidak menyentuh isu yang diceritakan dalam UPSIKINI tetapi disini saya cuba untuk menyatakan model pembunuhan budaya keintelektualan dan daya sensitiviti masyarakat kampus terhadap permasalahan ummah.

Lantas pembunuhan intelektual ini datang dalam bentuk yang cukup halus dan mengelirukan tanpa kita sedari yang natijahnya akan melahirkan mahasiswa atau guru yang tidak responsif terhadap masalah ummah, masalah sosial pelajar, masalah masyarakat dan negara sebaliknya hanya berminda segalanya untuk hidupku biarkan orang lain asalkan hidupku selesa. Seperti kata seorang sarjana Hasrizal Jamil sebagai golongan yang dihinggapi penyakit ‘aku tidak pedulisme’.

Sejalan dengan tanggapan kritis ini, cendekiawan semasa sudah banyak menyinggung akan perihal ini. Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadhil bekas profesor UKM sudah acap kali menyatakan kerisauan beliau terhadap proses pembunuhan intelektual yang halus ini, lantas menukilkan dalam satu makalah yang dipetik berikutnya :

“Di mana-mana orang mulai menyuarakan keprihatinan bahawa kampus-kampus IPT yang tampak mewah, megah dan gagah itu tidak lagi dapat menyembunyikan hakikat kelumpuhan dinamikanya sebagai institusi pemerkasaan dan pencerdasan generasi muda. IPT semakin kehilangan wibawa sebagai pusat kecendekiawanan yang bebas, kritis dan artikulatif. Warga IPT sudah semakin tidak mampu menegakkan kebenaran dan kedaulatan ilmu. Segalanya telah diputuskan dan diatur berasaskan kepentingan politik penguasa dan perkiraan untung rugi sektor korporat pendana”.

Hakikat pembunuhan intelektual mahasiswa hadir dalam beberapa bentuk yang sudah menjadi normalisasi kehidupan kampus masa kini . Ingin saya menghuraikan satu sahaja iaitu dalam jelmaan hedonisme

Hedonisme berasal dari perkataan Yunani iaitu hedone bererti kesenangan (keseronokan) dan isme beerti fahaman. Lalu disimpulkan maksudnya sebagai suatu kefahaman yang dimiliki individu sehingga perilakunya dimotivasi oleh keinginan untuk mencapai keseronokan iaitu hedone yang perkembangan selanjutnya menyebabkan seseorang mengambil jalan keseronokan dan mengelakkan kesusahan dan kesengsaraan.

Ramai menggunakan hujah bahawa hiburan dalam bentuk konsert seperti semalam bukanlah sesuatu melampau. Saya tidak mahu menghuraikan perihal itu namun sebaliknya apa yang mahu dinyatakan ialah kesan keatas pemikiran dari budaya tersebut menyebabkan berlaku doktrin terhadap budaya dan pemikiran untuk mengambil kesenangan dan takut serta mengelakkan dari mengambil kesusahan. Sejak beradanya saya selama dua tahun di UPSI ini , budaya (konsert) ini berterusan setiap tahun dan sesi konvokesyen sehingga hari ini. Maknanya doktrin (konsert) ini sudah agak lama bertapak dan sudah menjadi budaya.

Hasil doktrin untuk sentiasa berada dalam keselesaan, mendengar muzik, bersantai, ber ’couple’, berkonsert, maka natijahnya melahirkan golongan yang mewah dan sentiasa selesa dengan kehidupan. Minda tawanan seperti ini akan mengakibatkan seseorang itu seakan-akan ular sawa yang kekenyangan lantas duduk berlingkar tanpa menghiraukan sekelilingnya’.

Jika kita predicting the future (anggarkan masa depan) apa yang akan berlaku jika minda tawanan hedonisme ini berada disekolah yang beraksi sebagai seorang guru? Lantas minda untuk membebaskan diri dari kesusahan ini akan diteruskan akibat doktrin hedonisme di universiti sudah menawan pemikiran mereka.

Lalu, natijahnya sikap tidak peduli itu timbul, asalkan aku selesa dapat gaji, biarkan pelajar mahu jadi apa sekali pun. Kesedaran atau consciousness tidak lagi wujud dalam minda untuk membebaskan remaja dari keruntuhan sosial pemikiran kerosakan akhlaq yang menggebu-gebu kini. Penangan budaya seronok ini amat dashyat dan kesannya bukan bersifat fizikal tetapi sebaliknya berbentuk pemikiran.

Kerana hakikat untuk membebaskan pelajar dari masalah sosial memerlukan pengorbanan yang tinggi, terpaksa sentiasa dalam kesusahan, membebaskan diri dari keseronokan dan terkadang mengorbankan kewangan. Kerana tidak cukup seorang guru hanya menjadi seorang pengajar tetap bukan pendidik.

Lalu akibat pemikiran hedonis ini, lahirlah guru yang senantiasa mengelak dari kesusahan mendidik maka kesannya lahirlah pelajar yang pandai tetapi tiada nilai (akhlaq atau moral), lahirlah pelajar yang semakin meningkat gejala sosialnya dari hari ke hari. Masakan seorang guru yang mindanya juga hedonis mampu melahirkan pelajar yang baik! Tidak logik kan .

Siapa hendak dipersalahkan ? Pemimpin atau pentadbir universiti? Mahasiswa sendiri ? atau kita saling menuding jari mengelak untuk dipersalahkan dari tanggunjawab yang bersama ini. Lalu kita minta dijauhkan dari menjadi golongan serba salah dalam menyatakan kebenaran.

Singgungan al-Quran jelas menyatakan diatas seperti disebut sarjana Isalm Dr. Siddiq Fadzil al-Qur’an mengingatkan nasib buruk itu(nasib kematian intelek) mungkin menjadi lebih buruk lagi, apabila mereka menjadi buta dan pekak sama sekali: lahum qulubun la yafqahuna biha, wa lahum a`yunun la yubsiruna biha, wa lahun adhanun la yasma`una biha, ula’ika ka ‘l-an`ami bal hum adall. Demikianlah pemerian Qur’ani tentang generasi manusia yang hilang kemanusiaannya, lalu merudum martabatnya sedarjat dengan haiwan ternakan (al-an`am) apabila hati tidak lagi mengerti, apabila otak tidak berfikir bijak, apabila mata tidak melihat fakta, apabila telinga tidak mendengar yang benar.

Proses pencerahan minda perlu diteruskan oleh mahasiswa sendiri, keluar dari kepompong minda ditawan hedonisme ini serta kembali kepada pencerahan intelek kearah minda sensitif dan responsif terhadap massa. Paulo Freire tokoh pendidik Brazil dan pemikiran pembebasannya dari belenggu kebiasaan telah menyatakan peri penting pembebasan dari dogma lapuk seperti hedonisme kearah pencerahan kesedaran dan keintelektualan.

Kita sedang menyaksikan gejala ironis, kemarau intelektual di tengah banjir graduan. Rupa-rupanya yang namanya intelektual bukan sekadar pemilik ijazah tinggi. Intelektual adalah manusia pemikir, dunia intelektual adalah dunia idea, dialog dan wacana yang kritis, cerdas dan bebas. Kesuburan intelektual sebenarnya banyak ditentukan oleh faktor kualiti kepimpinan dan dasar pemerintahan. (Dr. Siddiq Fadhil)

Di tengah banjirnya bakal pendidik ini, rupa-rupanya bukan semua boleh dipanggil pendidik intelek, sebaliknya pendidik yang bijaksana (intelek) ialah yang memikirkan persoalan pembebasan dan pencerahan individu (pelajar ) dan masyarakat dari belenggu kegelapan kepada kecerahan (al-akhrij qaumaka min azzulumat ti ila an-nur).

Lalu kita lihat doktrin hedonis cukup bahaya dalam mematikan semangat intelek pendidik yang sepatutnya berperanan untuk menjadi penghubung, pemikir dan pengimbang kepada masyarakat lantaran minda ditawan hedonis menyebabkan mereka mengambil jalan keseronokan dan malas berfikir tentang masalah sosial yang berlaku.

Begitulah hujjah dan logika bahayanya hedonisme yang datang dalam pelbagai bentuk seperti budaya couple, berkonsert melampau, berseronok sepanjang masa dan lainnya. Natijahnya bukan dalam bentuk fizikal sebaliknya lahir dalam bentuk pemikiran yang mewujudkan tindakan.

Tindakan sama ada menjadi seorang pendidik yang responsif terhadapa masalah sosial pelajar atau sebaliknya. Ianya bersifat jangka panjang yang natijahnya memberi kesan untuk masa depan dan kesannya (hedonisme) akan berpanjangan sekiranya tidak dilakukan proses pembuangan penyakit ini.

9 ulasan:

cikgu_eya berkata...

bismillah....

Sebenarnya, budaya hedonisme ini merentas budaya dan benua. Tidak dinafikan, barat antara kawasan panas budaya hedonisma. Berleluasa dengan dengan jayanya. Namun, mengapa pula barat masih menjadi tempat pertembungan ilmu dan idea? Di mana silapnya kita, dan mana lebihnya barat? Budaya hedonisma berleluasa, dengan aliran fesyen yang menggila. Seiring juga dengan budaya membaca, kan? Tapi, negara kita? Siapa yang bermasalah sebenarnya?

Wan Ahmad Fathi berkata...

salam.. terima kasih cikgu sudi berbincang.

Soalan yang sangat baik dan mencabar minda.Kita berbincang dan tidak semestinya jawapan yang saya berikan ini adalah betul, sekiranya salah pohon dibetulkan.

Pertama mengenai budaya hedonisme merentas budaya dan benua. Persoalan saya kenapakah boleh berlaku penyebaran budaya ini keseluruh pentas dunia?

Say berpandangan bahawa budaya hedonisme ini merupakan rencana barat dan yahudi menerusi serangan pemikiran, disebarkan secara dahsyat sehingga kita sendiri berfikiran bahawa ia adalah suatu nature bagi seluruh budaya dan benua. (saya maksudkan hiburan dalam kontek kita sekarang , malaysian idol etc, kelab-kelab malam dan seumpamanya).

Bagi saya tidak. BUKAN nature kerana ini adalah rencana barat melemahkan Islam menerusi:

1. Globalisasi(media dan propaganda lain)

2. Serangan pemikiran (ghazwah al-fikr)idea (rencana) orientalis dan Yahudi.

Sebelum itu, ingin saya menyatakan dahulu dari mana asal-usul dan wujudnya hedonisme ini.

Asal-usulnya ialah dari fahaman sekularisme dan ianya merupakan salah satu aliran teori etika sekular barat. Sekular ditakrifkan oleh Syeikh Yusof al-Qarhdhawi sebagai 'dunyawiyyah'(keduniaan) dan 'la diniyyah'(tanpa agama) maknanya suatu fahaman yang menolak agama sebagai cara hidup dari segenap aspek baik, akhlak, syariah, budaya, sosial, ekonomi, pendidikan dan semuanya .

Dan sekularisme lahir dari masalah agama , pemikiran , jiwa dan sejarah realiti kehidupan dunia barat. (al-Qardhawi).Bila mana
kuasa gereja yang mengongkong dalam sejarah barat dijatuhkn oleh Martin Luther dan berpecahnya aliran kristian kepada dua iaitu Protestan dan Katholik.Puncannya ialah gereja yang mengongkong masyarakat pada masa itu.

Akibatnya, atas penyelewnagn gereja itu sendiri maka barat telah melihat dan membawa suatu faham baru yang memisahkan agama dan gereja. Lalu mereka menyandarkan kepada kata-kata al-Masih AS dari injil;

"berikan kepada kaisar hak untuk kaisar dan berikan kepada Allah hak untuk Allah".

Maknaya, faham yang memisahkan agama dan pemerintahan dari kehidupan.

Ringkasnya asal-usul sekularisme ini sendiri bermula dari sejarah hitam dunia barat iaitu kristian.

Untuk menyebarkan lagi faham ini maka ia dimunculkan dalam pelbagai aliran baru yang bertunjangkan sekular termasuk hedonisme, deontologikal, naturalisme dan macam-macam itu.

Baik, hedonisme pula dipelopori oleh Epikuros yang menyatakan bahawa fitrah manusia dan binatang ialah mencari kelazatan , seronok, ni'mat kehidupan yang maksimum. Tetapi ia berbeda dengan Islam kan? .Islam menyarankan hidup secara 'wasatiyyah' (seimbang, pertengahan, sederhana).

Wan Ahmad Fathi berkata...

Kenapa barat masih menjadi temapt pertembungan ilmu dan idea ?

perlu diingat bahawa tamadun barat sebenarnya berada dalam keadaan teruk, walaupun mereka menjuarai keilmuan tetapi hakikat insitusi kekeluargaan dan budaya mereka adalah runtuh :

1. mereka menyanjung tinggi nilai keilmuan kerana mereka yakin bahawa ilmu adalah segalanya dan dengan ilmu mereka boleh berkuasa.

2. Persoalan 'wisdom' kebijaksanaan adalah hak semua baik Yahudi (antara kaum yang Allah beri wisdom dan mereka amat cerdik)mahupun barat yang bukan Islam. al-Quran ada menyebut siapa yang diberi 'wisdom' ini sesungguhnya dia mendapat kebaikan yang banyak.

3. Kesedaran mereka dari sejarah bahwa mereka pernah tertindas kerana rendahnya budaya ilmu mereka bila mana Islam menguasai dunia.Contoh, pada zaman kegelapan barat tertindas,zaman kekuasaan Salahuddin al-Ayyubi, al-Fateh, kerajaan Andalusian dan lain-lain dan Islam lahir dengan ramai tokoh intelek baik Ibn Khaldun, al-Ghazali, ibnu Batuta. Pusat keilmuan dan pertembngan idea dalam sejarah Islam terbesar dalam sejarah adalah di Baghdad. Cemburunya mereka dengan kita menyebabkan mereka sedar akan peri pentingya ilmu.

3.Kesedaran mereka menimbulkan tindakan, antaranya mereka mengusai ilmu dalam masa yang sama berfikir untuk menyerang Islam agar lemah juga dengan Ilmu, sebab itulah lahir bermacam aliran pemikiran baru termasuk hedonisme ini.

Itulah lebihnya mereka dan dimana silapnya kita ?

1. Silap tidak kembali kepada Islam (fahami Islam secara mendalam) secara keseluruhan dan menjadikkan Al-Quran dan Sunnah panduan hidup.

2. Tidak menyedari sejarah dan mengambil pengajaran dan kesedaran unutk bangun kemabali. Hakikat Islam pernah menjadi tamadun keilmuan unggul.


3. Tidak menyedari strategi musuh menyerang menerusi pemikiran atas nama globalisasi dan pelbagai idea baru.


Negara kita bagaimana siapa bermasalah?

Ingin saya mengambil kaedah al-sulbah oleh Imam-Hassan al-Banna, dimana as-syahid menyatakan bahawa terdapat beberapa peringkat pengislahan bermula dengan individu, keluarga , masyarakat, negara, dan dunia keseluruhan.

Maka silapnya:

1. Diri sendiri termasuk saya. Tidak letak ilmu sebagai perkara terpening.dan mengamalkannya serta tidak cuba meningkatkan diri kearah kesempuraan iman dan kehidupan.

2. Keluarga yang tidak menyedari hakikat ini dan tiada yang menyedarkan.

3. Masyarakat juga tidak menyedari dan disedarkan.

4. Negara yang dipimpin oleh pemimpin yang tidak menyanjung martabat ilmu dan Islam sebagai faktor utama.
.."Al-Islamu 'ala ad-deenul mulk" mafhum dari sebuah hadith yang saya sudah tidak matannya. Dimana Islam juga boleh bergantung kepada agama pemeritahnya atau rajanya.

5. Dunia Islam keseluruhannya tidak dipimpin oleh kerajaan Islam yang sempurna sifat dan kefahamanya bukan sekular.Tiada lagi khalifah memerintah untuk menyatukan Islam.

Ringkasnya, pada saya makna hedonisme adalah lain dengan gembira, kerana hakikat kegembiraan adalah fitrah manusia dan hiburan juga fitrah manusia tetapi persoannya bagaimana cara kita menguruskannya agar tidak lari dari landasan agama dalam masa sama kita berperanan menyedarkan masyarakat.

Hedonisme adalah idea penjajahan minda umat Islam.

cikgu_eya berkata...

Bismillah.....

ana setuju denganan perbincangan dan fakta yang telah diketengahkan. Mengenai zama Kegelapan Barat, membuat mereka bangkit dan ingin melepaskan diri dari cengkaman gereja. Ya, mereka memisahkan agama dengan urusan dunia. Persoalannya, itu adalah fahaman mereka yang dilaksanakan untuk kepentingan mereka sendiri. Mereka tidak punya motif untuk meletakkan agenda menyesatkan umat Islam sebagai salah satu paper work untuk dilancarkan.


Maksud ana... Apabila fathi mengatakan bahawa hedonisme ini adalah jarum suntikan kafir untuk melemahkan umat Islam, bagi ana, itu adalah satu bentuk kenyataan yang prejudis jika tidak di usulkan bersama bkti. Mengapa? Kerna, budaya hedonismeini bukan sahaja menghancurkan umat Islam malah uturut membakar etika peradaban dunia barat. Akhlak, moral dan etika barat jatuh merudum kerna budaya hedonisme ini. Mak, tidak logiklah untuk kita membuat penafsiran bahawa hedonisme ini adalah jarum suntik barat untuk menghancurkan musuh, dalam masa yang sama, meranapkan kaum mereka sendiri... ^^


Melalui balasan komen fathi yang kedua pula, fathi mengakui kemerosotan nilai moral barat hasil daripada jarum mereka sendiri, yang asalnya bertujuan untuk merosakkan kaum yang lain. Kontra dan tidak masuk akal, bukan? Kemudian, fathi mengulas tentang orang-orang yahudi kejam itu amat menghargai ilmu, belajar dari sejarah dan bangkit dari kegelapan. Fathi turut mengulas tentang silap kita yang tidak kembali pada agama, tidak mengamalkan agama secara holistik. Maka, kesimpulannya ialah...

MASALAH KITA IALAH SIKAP.....

Sikap orang-orang kita. Bukannya budaya hedonisme ini ditujukan semata-mata kepada orang Islam. Ia adalah fahaman dan penularan seluruh dunia. Maka, mengapa mereka masih boleh mendabik dada dan bersaing dalam bidang ilmu sedangkan, kita terasa lemah gemalai dibuai budaya ini? Masalah paling ketara, sikap. Sikap ini yang perlu dipupuk, dengan pembentukan minda kelas pertama (aicheh)... Bagaimana pula untuk melorongkan sikap, usaha dan pemikiran ini ke arah perkara yang lebih utama? Maka ana bersetuju, melalui agama... Mengislahkan diri, keluarga dan masyarakat setrusnya negara dan sebagainya. Langkah pertama yang perlu dibuat ialah, mengubah sikap terhadap agama yang dianuti. Bermula dengan diri kerna apabila sesebuah kaum itu tidak menjadikan Allah sebagai sembahannya, Allah akan turunkan bala iaitu, melantik pemerintah yang tidak adil.. bukan kah begitu?

^^

Wan Ahmad Fathi berkata...

Terima Kasih Cikgu atas respon.

Saya mohon maaf sekiranya perbincangan ini menyebabkan timbul perasaan tidak selesa, harapnya tidak dan saya berterima kasih kerana sudi untuk berbincang moga-moga kita dapat berkongsi pandangan.

Pertama, mungkin kesilapan saya tidak menjelaskan secara perinci mengenai sebab-sebab lain yang lebih khusus kenapa timbulnya sekularisme. Saya akan jelaskan disini.

Mohon maaf, saya tidak bersetuju dengan dua pandangan cikgu menyatakan ’itu adalah fahaman mereka yang dilaksanakan untuk kepentingan mereka sendiri” dan juga ’mereka tidak punya motif untuk meletakkan agenda menyesatkan umat Islam sebagai salah satu paper work untuk dilancarkan.”

Baik, seperti yang dinyatakan betapa penting kita melihat kembali kepada sejarah, ulasan secara perinci yang tidak saya jelaskan berkaitan kongkongan dan keangkuhan gereja yang dipegang oleh Katholik sewaktu zaman Renaisance abad ke-14 saya jelaskan disini. Keangkuhan gereja masa tersebut seperti yang dikarang atau dijelaskan oleh para ulama (rujuk kitab Islam wa Ilmaniyyah wajhan li wajhin karangan al-Qardhawi, Islam and Secularisme karangan Syed Naquib al-Attas, Islam dan ideologi – sulaiman nordin atau buku-buku lain) boleh saya rumuskan ;

1. Angkuh dari segi rohani

Gereja dakwa bahawa para paderi ada hubungan rohani dan batin dengan Allah oleh itu mereka punyai kuasa rohani keatas manusia dimana mereka menjadi perantara dan anak yang lahir perlu dibaptis oleh paderi.

2. Angkuh dari sudut Ilmu

Persoalan inilah yang saya perlu kaitkan dengan penjelasan sebelum ini (rencana barat melemahkan Islam ) seterusnya menjawab kenyataan cikgu iaitu fahaman mereka yang dilaksanakan untuk kepentingan mereka sendiri. Baik, masa zaman ini gereja mengatakan bahawa kejahilan ialah faktor lahir iman dan ilmu bawa kekafiran (ini berlaku sebelum zaman renaissance) . Oleh itu ilmu dipisahkan dari agama dimana terdapat 2 sebab mengapa mereka buat begitu :
i) Pada masa itu ilmu dikuasai Islam yang membawa kemajuan datang dari tamadun hebat Islam dan orang-orang Islam yang lahir di universiti-universiti terletak di Andalus. Maka hebatnya umat Islam dengan ilmu akan membawa perkembangan ajarannya dan ianya suatu ancaman bagi gereja.
ii) Kebanyakan pelajar dan murid dari Eropah yang inginkan ilmu hanya didapati di universiti Islam di Sepanyol, mereka belajar ilmu sains fizik kimia, astronomi dari ulama’ Islam. Kesannya gereja marah kerana orang Eropah yang pulang telah bawa Ilmu Islam dan bertutur bahasa Arab. Sebab itu mereka tentang Islam dan ilmu sekaligus.

Wan Ahmad Fathi berkata...

Ini menunjukkan sememangnya mereka sudah merencana untuk memusuhi Islam dari dulu lagi, sebelum berlakunya zaman Renaissance dan kejatuhan serta perpecahan gereja kepada 2 iaitu Katholik dan Protesten.

Baik, selepas zaman Renaissance mereka berjaya membebaskan kongkongan gereja, maknanya mereka berjaya keluar dari kongkongan dari sekatan mendapatkan ilmu oleh gereja. Sebab itu mereka bangkit kembali dengan ilmu, dan dalam masa yang sama mereka inginkan Islam turut dijadikan mangsa sekularisme.

Mengenai kenyataan cikgu tentang ’mereka tidak punya motif untuk meletakkan agenda menyesatkan umat Islam sebagai salah satu paper work untuk dilancarkan’ adalah satu kenyataan yang bahaya bagi saya kerana seolah-olah kita menafikan bahawa agama Kristian bukan agama dakwah (yang menyebarkan fahamannya), lalu menyebabkan kita tidak berwaspada dan bersedia menghadapi serangan mereka.

Perlu diingat Kristian adalah agama dakwah dan Islam juga agama dakwah, bukan seperti Yahudi. Maka apabila sedemikian sememangnya masing-masing cuba untuk mendakwah orang untuk anuti agamanya. Sebab itu wujud golongan Orientalis (serang dari sudut pemikiran), gerakan Missionaries (gerakan dakwah aktif) dan sebagainya dan kita Islam juga wujud gerakan Islam untuk membela. Jika tidak masakan perang Salib berlaku, penaklukan kota Andalus oleh Kristian dari Frankish Kingdom berlaku, semuanya untuk sebarkan agama Kristian.

Oleh itu kita mesti senantiasa prejudis terhadap golongan kafir (dengan maksud terhadap agenda mereka menyesatkan Islam, bukan dengan maksud semua orang kafir atau individu kafir yang tidak melancarkan serangan kepada Islam), asasnya ialah ayat al-Quran ’walan tardho ’ankal yahudu wal lan nasara...” hingga akhir ayat, saya pun lupa surahnya.

Wan Ahmad Fathi berkata...

Itulah hujah saya. Baik, hedonisme yang saya jelaskan lahir dari sekularisme. Persoalan cikgu ialah kenapa hedonisme bukan sahaja menghancurkan umat Islam tetapi juga peradaban barat? Saya rasa persoalan ini sudah terjawab kalu diperhatikan tulisan sebelum ini. Namun saya jelaskan lagi, sebabnya ialah sekularisme itu sendiri, kenapa hancur peradaban barat dan mereka amat hedonis ? sebab agama dipisahkan dari kehidupan. Logik kan.

Kenapa nampak bercanggah. Mereka serang Islam dengan sekularisme dan hedonisme tetapi meranapkan kaum mereka juga. Jawapan saya ialah tidak timbul persoalan meranapkan kaum mereka juga kerana mereka memang sudah sekular, pisahkan agama dari kehidupan kesannya hidup tak dipandu agama maka runtuhnya moral. Persoalan ini semuanya berbalik kepada asas agama Kristian itu sendiri yang ingin berkuasa dan mereka serang Islam untuk menjatuhkannya menerusi pemikiran termasuk hedonisme (mungkin boleh rujuk buku karangan ulama Islam yang banyak mengenai Ghazwatul Fikr (serangan pemikiran ).

Wan Ahmad Fathi b. Wan Hassan berkata...

ya, saya bersetuju dengan masalah sikap itu,memang benar tapi ada masalah yang lebih mendasar dari itu. Cikgu menyatakan budaya hedonisme bukan ditujukan kepada umat Islam, habis kalau bukan termasuk didalam tujuannya kepada umat Islam kepada siapa lagi? kristian ? Budha, Taoisme dll ...

Satu kenyataan tokoh pencetus penubuhan negara Yahudi pernah menyatakan, dan ianya terbongkar bila mana protokol Yahudi berjaya dicuri dan didedahkan, dalam persidangan Yahudi sedunia di Basle Swiss 1897, Theodore Hertzel menyatakan :

"misi kita bukan mengeluarkan mereka dari Islam, walaupun yang utamanya ialah keberhasilan itu yang paling gemilang. Tapi kita mesti berusaha untuk menjauhkan mereka dari Islam..jadikan mereka orang Islam yang tidak kenal agamanya sendiri, orang Islam yang gemar beseronok-seronok, suka dengan kelalaian dari agamanya (maksiat), hidup semata-mata harta dan jabatan..jika umat Islam sudah menjadi seperti itu, maka misi kits berhasil.


Perkara paling dasar ialah masalah akidah itu sendiri.Kefahaman akidah membentuk sikap. Usaha untuk melorongkan pemkiran kearah perkara yang lebih utama ialah menguatkan kemabali kekuatan akidah itu sendiri.

Kegagalan memahami hakikat akidah Islam menyebabkan kita tidak tahu ke mana arahnya hendak dituju.Keliru dengan pandangan semasa dan hakikat sebenar sesuatu perkara yang berlaku.

Memahami ideologi semasa juga termasuk dalam perkara akidah Islam, tahu apa sekular, kapitalis, liberalisme, sosialisme dan aliran semasa lain yang datang lebih halus untuk menjajah pemikiran, pada saya hal inilah ramai yang gagal untuk memahami hakikatnya.lalu kita hanya mampu berkata dan buat andaian.

Ideologi baru banyak dipelopori Yahudi contohnya Kapitalis pencetusnya Karl Marx adalah Yahudi dan kedua ayahnya yahudi.. ini satu contoh serangan menerusi pemikiran yang sehingga kini masih pakai sistem ekonomi kapitalis kan.

Asas utama kebangkitan dan masalah ummah ialah memahami akidah yang benar, iman , kita gagal memahaminya dan terjemah dalam hidup seharian.


Sebab itu saya katakan pada komen lepas masalah utama ialah memahami Islam secara menyeluruh, dalam Islam ada akidah, ibadah, syariat, akhlak dan semuanya kan.

Sebab itu saya kata ianya berkait antara individu hingga negara (pemerintah)...


Baik, saya bawa satu pandangan dari ulama Ikhwan Syeikh Muhammad al-Ghazali yang pernah ana dengar dari seorang Dr. Hakikat baik buruk pemimpin atau pemerintah itu adalah ”suuratun muabbiratun ’an baatinil ummah”..maknanya hakikat baik atau jahat pemimpin itu adalah menggambarkan hakikat dalaman atau batin ummah itu sendiri. Baik pemimpin menggambarkan baiknya individu dan masyarakat. Cth sudah banyak,kerjaan al-Fateh, Solahuddin dan lain-lain.Kenapa kita dapat pemimpin kejam, tolak manhaj Islam? We deserve it ...right? sebab usaha kita untuk menjadi individu, masyarakat yang utuh imannya yang berperanan untuk memberi kesedaran tidak berada pada tahap yang tinggi berbanding usaha mereka (musuh) yang lebih...

cikgu_eya berkata...

Bismillah.....


Alhamduliilah... ana telah mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya. Kenyataan ana 'Mereka tidak punya motif untuk meletakkan agenda menyesatkan umat Islam sebagai salah satu paper work untuk dilancarkan' dan ianya satu sikap prejudis jika tidak didatangkan dengan bukti...
Maka, ana tarik balik kenytaan tersebut berdasarkan hujah fathi. Ya, ana terfikir tentang tenangan hebat ilmu peradaban yang dipelopori oleh umat Islam di Andalus, lalu dihancur ranapkan oleh manusia-manusia yang dengki. Ana juga terimbas kembali strategi perang saraf yang digunakan oleh kristian semasa sesi Perang Salib, bertujuan untuk melemahkan pertahanan tentera Islam.

Nilai logik itu... ana ingin menambah sedikit. Budaya hedonisme itu, tidak dianggap satu kehancuran bagi mereka. Mengapa? Ya, kerana mereka tidak dipandu agama, seperti kenytaaan fathi. Mereka hanya bergantung kepada nilai moral dan norma masyarakat. Lantas, terdapat beberapa nilai keruntuhan moral yang berlaku namun, tidak dianggap sebagi satu kehancuran kepada mereka. Contohnya transgander, ketaksuban berfesyen, penzinaan, dan sebagainya, tidak dianggap sebagai satu keruntuhan moral kerna mereka sendiri yang meletak nilai moral tersebut, tanpa berpandukan agama. Maka, nilai moral yang berubah bagi mereka, menjadi kayu ukur peradaban akhlak bagi peradaban barat.

Oleh sebab itu, mereka tidak mengangap nilai moral telah ranap kerna dasar yang mereka reka sendiri.. ^^

Terima kasih atas perbncangan dan penerangan yang panjang lebar. Ana menunggu artikel seterusnya... ^^